HARI Jumaat adalah penghulu segala hari dan umat Islam disarankan memperbanyakkan ibadah sunat di samping memenuhi kewajipan menunaikan solat fardu Jumaat. Pada hari Jumaat juga umat Muhammad diharuskan melakukan segala aktiviti termasuk mencari rezeki yang dikurniakan Allah.
Kebebasan ini tidak dikecapi kaum Bani Israel terdahulu yang mana syariat Nabi Musa melarang sama sekali kaumnya mencari rezeki pada hari kebesaran mereka iaitu hari Sabtu sebaliknya, mereka diperintahkan memperuntukkan masa itu melaksanakan ibadah.
Berbeza dengan syariat Nabi Muhammad, Allah SWT memberi kebebasan dan ruang yang cukup luas kepada hamba-Nya mencari rezeki termasuklah berniaga serta berjual beli. Namun, ada waktu khusus dilarang Allah SWT menjalankan perniagaan dan jual beli pada penghulu segala hari ini.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Apabila dikumandangkan seruan mengerjakan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah SWT dan tinggalkanlah jual beli (pada saat itu); yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat sebenarnya). Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah dari limpah kurnia Allah SWT, serta ingatlah akan Allah SWT banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat).” (Surah al-Jum’ah, ayat 9).
Baca Seterusnya »