Assalamualaikum dan salam 1Malaysia kepada semua pengodek diluar sana. Moga berada dalam kesihatan diri, kesenangan dan kemudahan didalam kehidupan. Hari ini sambungan Hadis 40. Lama tak menyentuh tentang ilmu hadis ini. Ingat kita seharusnya selalu melakukan penyebaran ilmu agar semua mendapat manfaat.
Untuk bicara hadis minggu ini adalah tentang bid’ah/bidah. Bid’ah merupakan penambahan atau pengurangan yang dilakukan seseorang keatas agama Islam dimana pada masa yang lalu ianya tiada. Bahkan tiada didalam sunnah, Alquran dan sebagainya. Ianya sengaja direka reka dan diletakkan sebagai perkara wajib/sunat dan sebagainya.
” Daripada Ummul Mukminin, Ummi Abdullah Aisyah r.a. katanya : Telah bersabda Rasulullah SAW : ‘ Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam agama yang bukan darinya adalah tertolak ‘, ~ diriwayatkan dari Al-Bukhari dan Muslim
Penjelasan Hadis:
Dalam kehidupan kita sebagai orang Islam, apabila menerima ilmu ilmu baru yang berkaitan dengan amalan harian kita, haruslah kita menyiasat amalan tersebut sebelum melakukannya kerana dikhuatiri ianya merupakan bidaah. Melakukan perkara perkara bidaah merupakan suatu kerja yang sia sia bahkan boleh mendapat dosa sekiranya bertentangan dengan hukum syarak. Sebagai contoh perkara bidaah adalah mandi safar dimana masyarakat kita mempercayai bahawa mandi pada bulan safar ini boleh membuang sial dan membuang dosa. Sesungguhnya berdosalah sekiranya kita melakukan perkara ini kerana kurangnya kepercayaan kita kepada Allah dan Qada’ dan Qadarnya yang telah ditetapkan sejak dari azali lagi. Dalam AlQuran Allah berfirman:
“Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.”
At-Taubah: 51
Oleh itu, seharusnya kita berpegang dengan ilmu dan amalan yang ditunjukkan dan diajar oleh guru guru agama, ustaz dan imam. Janganlah terlalu suka mengikut sesuatu amalan itu tanpa mengetahuinya dan bertanya kepada beberapa ustaz/ustazah sekiranya tidak mengerti/tidak memahami tentang sesuatu amalan itu.
