Sambungan untuk koleksi hadis 40. Untuk minggu ini, hadis ini berkaitan dengan perkara syubahat dan perkara lain berkaitan hati.
Hadis:
“Dari Abu Abdullah An-Nu’man bin Basyir r.a. katanya : saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : ‘ Sesungguhnya yang halal itu terang ( jelas ) dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat pekara-pekara yang syubahat ( tidak terang halal atau haramnya ) yang tiada diketahui oleh orang ramai. Orang yang memelihara dirinya dari pekara-pekara yang syubahat itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatan dirinya. Orang yang tergelincir ke dalam pekara syubahat itu akan tergelincir masuk ke dalam pekara haram. Laksana seorang pengembala di pinggir sebuah tempat larangan, yang akhirnya lalai dan masuk ia ke dalam tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja sebuah tempat larangan, dan tempat larangan Allah itu adalah pekara-pekara yang diharamkanNya. dan ketahuilah pada setiap jasad itu seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati.”
Ulasan:
Dalam hadis ini, telah diterangkan bahawa halal dan haram itu telah diperjelaskan oleh Allah dalam Al-Quran dan juga oleh Rasulullah dalam hadisnya. Tetapi diantara kedua dua haram dan halal terdapat satu perkara iaitu syubahat. Perkara syubahat ini menyebabkan kita boleh terjerumus kedalam perkara yang haram. Sebagai contoh, sumber makanan yang kita tidak ketahui dari mana sumbernya ini boleh dikatakan tergolong dalam perkara syubahat kerana kita tidak mengetahui apa kandungannya melainkan ianya diiktiraf Halal oleh Jakim. Perkara ini boleh menyebabkan kita ragu ragu dan kadang kala ada sesetengah bahan dalam sumber makanan itu mengandungi perkara haram.
Jika kita selalu terjerumus dalam perkara syubahat, ini boleh mengakibatkan kita mendapat dosa daripada tindakan kita. Allah telah memberikan panduan dalam Al-Quran apa yang halal dan yang haram, maka perlulah kita sebagai hamba Allah mematuhinya.
Dalam perkara yang lain, Rasulullah berkata dalam tubuh kita ada satu daging/organ yang menentu kehidupan kita sama ada baik atau jahat. Organ itu adalah hati kerana hati merupakan pusat bagi ketetapan kepercayaan kita kepada islam, tempat letaknya iman dan segala tindakan dan rupa akhlak kita. Sebagai manusia kita haruslah menjaga hati kita dan memastikan sentiasa dipastikan mempunyai kebaikkan. Hal ini kerana sekiranya hati kita dipenuhi kebaikkan, maka jasad kita berada didalam kebaikkan. Setiap perbuatan kita akan sentiasa memilki kebaikkan. Sekiranya hati kita dipenuhi dengan kejahatan, maka jasad kita akan menjadi rosak dan akan sentiasa bergelumang dengan perkara haram dan melakukan dosa.
Akhir kata, setiap perbuatan kita haruslah sentiasa dipastikan menuju kearah kebaikkan. Sentiasa memastikan perkara Halal dan Haram itu nyata. Dan pastikan hati kita dipenuhi dengan ilmu, kebaikkan dan iman.