Salam 1Malaysia kepada semua. Bersambung lagi dalam bicara hadis terbitan ketiga. Kali ini membicarakan perihal asas asas binaan bagi agama Islam itu sendiri.
Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn ‘Umar ibn al-Khatthab ( ??? ???? ????? ) beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: lslam itu terbina atas lima perkara: Naik saksi mengaku bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu adalah Utusan Allah, Mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke baitulLah dan menunaikan puasa pada bulan Ramadhan.
HURAIAN
Tonggak Islam
Dalam sesuatu binaan, terdapat sesuatu yang dipanggil asas atau pendokong bagi mengukuhkan binaan tersebut. Asas inilah yang membuatkan sesuatu binaan itu terus kekal selamanya sekiranya dijaga dan dipelihara. Begitu juga dengan agama Islam. Islam memiliki batu asasnya sendiri dan berdiri dengan lima asas yakni mengucap syahadah, bersolat lima waktu, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji dan berpuasa di bulan ramadhan.
1. syahadah bermaksud naik saksi, dimana kita membenarkan dengan hati, dan berkata dengan lidah bahawa kita percaya tiada tuhan selain Allah SWT dan nabi Muhammad adalah pesuruhNya. Inilah asas pertama yakni yang menjadi bukti bahawa kita adalah memusatkan seluruh diri kita dan hati kita untuk mempercayai apa yang terkandung didalam 2 kalimah syahadah itu.
2.Solat 5 waktu, Allah mewajibkan kita sebagai ummat terakhir dengan menunaikan tanggung jawab sebagai hamba dengan melakukan solat 5 waktu yang mana pahalanya sama seperti 50 solat. Solat juga diibaratkan sebagai tiang agama, dan dengan melakukan solat secara sempurna dapat menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan yang keji.
3.Menunaikan zakat. Penunaian zakat adalah terletak dari segi aspek rohani dan jasmani. Apabila cukup mencapai syarat yang ditetapkan Allah kecuali zakat fitrah, haruslah kita menunaikannya kerana harta itu bukannya lagi hak milik kita tetapi hak milik 8 asnaf. Zakat secara tidak langsung mengajar kita dengan sifat berkasih sayang, ikhlas dalam memberi dan menolong secara tidak langsung kepada mereka yang tidak berkemampuan. Selain itu, zakat juga boleh membantu meningkatkan ekonomi bagi sesuatu negara itu dengan menggalakkan perbelanjaan dikalangan yang tidak mampu walaupun kecil.
4. Menunaikan haji. Sebagai seorang yang Islam, kewajipan menunaikan haji datang jika kita memiliki kemampuan dan kesenangan untuk melakukannya. Walaubagaimanapun, kita haruslah berusaha untuk kearah itu seperti menyimpan sedikit wang di bank dan sebagainya, yang penting suatu hari nanti akan dapat menunaikan haji walaupun lambat.
5. Berpuasa di Bulan Ramadhan. Puasa adalah bukti dan rahmat Allah kepada semua hambanya. Didalamnya terdapat petunjuk dan pengajaran kepada mereka yang berpuasa. Sesungguhnya puasa mengajar orang yang senang merasakan kesusahan orang susah, mengajar agar tidak boros dalam makan dan minum serta menjaga kesihatan secara tidak langsung. Puasa juga merupakan pintu rahmat bagi ummat kerana didalamnya Allah melimpahkan rahmatNya lebih lebih lagi di malam Lailatul Qadar.
Hubungan Rukun Rukun Islam
Kelima limanya wajiblah dilakukan dengan sepenuh hati dan kepercayaan yang tinggi. Dengan melakukan kesemuanya maka sempurnalah iman kita. Barangsiapa meninggalkannya maka kafir secara putus. Bagi siapa yang mempercayai kesemuanya tetapi mencuaikan salah satu kecuali syahadah maka dia adalah fasik dan barang siapa hanya mengaku pada mulut tetapi tidak pada hati, maka dia adalah dari golongan munafik.
Kesimpulan
Islam dan Iman berkait antara satu sama lain. Didalam Islam mempunyai asas asas binaannya yang tersendiri yang patut dilakukan sebagai hambaNya yang beriman. Dengan melakukan semua rukun rukun tersebut maka sempurnalah iman dan cukuplah keislaman seseorang itu. Kita harus yakin dan berserah kepada Allah swt dalam setiap perbuatan dan ibadat kita. Dengan demikian maka akan dibalaslah kepada kita syurga di sana nanti, InsyaAllah….