* Seperti yang pernah dikeluarkan dalam Berita Harian

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
bminggu@bharian.com.my

Saya ada persoalan iaitu:

1. Ketika berzikir, apakah perlu bacaannya bertajwid? Apakah dimaksudkan dengan zikrullah, zikir qalbu, syir dan makrifatullah?

2. Bolehkah berzikir tanpa bertasbih?

3. Apakah rantai tasbih boleh dijadikan hiasan dalam kenderaan?

Amrad,

Hulu Klang, Selangor.
APABILA kita hendak menggunakan bahasa Arab, kita perlu mengetahui kaedah atau peraturannya. Bahasa Arab ini mempunyai peraturan bahasa yang dikenali sebagai ilmu Nahu dan Saraf yang disusun oleh alim ulama. Jika kita tidak tahu atau mengenali ilmu berkenaan, dibimbangi kita sudah tersalah dalam menggunakan bahasa Arab. Begitu juga dengan bahasa lainnya termasuklah tatabahasa bagi bahasa Melayu.

agi mereka yang tidak mengenali peraturan bahasa Arab, sudah tentu kita tidak memahami manfaat ilmu berkenaan. Justeru dalam kita membaca al-Quran, kita perlu membaca mengikut hukum tajwid yang disusun oleh ulama supaya apa yang kita baca menepati maknanya. Jika tidak mengikuti tajwid, sudah tentu bacaan kita membawa makna berbeza dan membawa kepada laknat bagi pembacanya.

Dalam tajwid ada panjang, pendek, dengung dan seumpamanya perlu dibaca supaya bacaan itu menepati makna dan maksud seperti diturunkan kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Justeru mempelajari ilmu tajwid juga suatu fardu supaya apa yang kita baca itu dinilai sebagai pahala ibadat seperti dinyatakan kata al-Imam Ibn Jazari yang bermaksud: “Dan mengambil bacaan al-Quran dengan tajwid itu adalah wajib. Dan barang siapa tidak mentajwidkan al-Quran itu adalah berdosa kerana dengan tajwid itu, Allah SWT menurunkan al-Quran. Dan demikian pula sampainya al-Quran itu kepada kita daripada-Nya.”

Begitu juga zikir yang disebut dalam bahasa Arab, sama ada bertasbih, bertahmid, bertakbir, bertahlil atau seumpamanya hendaklah dibaca atau disebut dengan betul supaya ia menepati maknanya. Saya tidak jelas maksud saudara berzikir tanpa bertasbih. Mungkin maksud saudara berzikir tanpa membilang dengan rantai tasbih kerana bertasbih itu termasuk dalam zikir.

Zikir bukan saja menyebut tasbih (Subhanallah), tetapi juga tahmid (Alhamdulillah), takbir (Allahuakbar) dan seumpamanya. Justeru, konteks berzikir ini luas dalam rangka mengingati Allah SWT. Dia juga ada berfirman pada surah ‘Ali Imran ayat 190 hingga 191: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah SWT) bagi orang-orang berakal. (Iaitu) orang-orang yang sentiasa berzikir kepada Allah (mengingati Allah) semasa mereka berdiri, dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan pula tentang kejadian langit dan bumi (sambil menyebut): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, (dan bertasbih menyebut) Subhanallah (Maha suci Allah), maka peliharalah kami dari azab neraka.”

Seperti saya katakan tadi, maksud zikrullah adalah luas. Saya ingin bawakan definisi zikrullah yang disebut al-‘Allamah Abi Zakaria, Yahya bin Syaraf an-Nawawi (seorang ulama besar mazhab as-Syafie) dalam kitab beliau al-Azkar (yang bermaksud): “Ketahuilah olehmu bahawa fadilat (keutamaan) zikir itu tidaklah terbatas pada tasbih, tahlil, tahmid, takbir dan seumpamanya saja. Bahkan setiap orang yang melakukan ketaatan, maka dia dinilai daripada orang yang berzikir kepada Allah Ta’ala. Demikianlah menurut Sa’id ibn Jubair dan ulama lain. Dan sudah berkata Atha’: “Majlis zikir iaitu majlis (yang diambil peduli dan dibicarakan padanya mengenai) halal dan haram, bagaimana caranya kamu membeli, bagaimana caranya kamu menjual, bagaimana caranya kamu sembahyang, bagaimana caranya kamu berpuasa, bagaimana caranya kamu bernikah, bagaimana caranya kamu talak (cerai), bagaimana kamu melaksanakan haji dan seumpamanya.

Ada juga ulama yang memberi takrif zikrullah dalam cakupan luas iaitu tiap ketaatan kepada Allah SWT, zahir dan batin. Menurut Imam al-Wahidi di dalam tafsir al-Wasith, dengan sanadnya kepada Khalid bin Imran r.a, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang mentaati Allah SWT maka sesungguhnya ia berzikir mengingati Allah SWT, walaupun sedikit solatnya, puasanya dan amal kebaikannya. Dan barang siapa yang bermaksiat (menderhakai) Allah SWT, maka sesungguhnya ia sudah melupakan-Nya sekalipun banyak solatnya, puasanya, pembacaan al-Qurannya dan amal kebaikannya.

Makrifatullah bermaksud mengenal Allah. Dalam ilmu aqidah, kita biasa bertemu dengan kata-kata “Awwaluddin makrifatullah” bermaksud pertama-tama dalam agama ialah mengenal Allah SWT. Menurut Sayid Sabiq, cara untuk makrifat kepada Allah dengan mengenal nama-nama-Nya yang mulia dan sifat-sifat-Nya yang tinggi. Juga kita dapat mengenal (makrifat) Allah SWT dengan bukti-bukti yang wujud atau ada-Nya serta kenyataan sifat keagungan-Nya dalam alam semesta atau di dunia ini. Orang yang makrifat kepada Allah SWT akan memancarkan pelbagai perasaan baik dalam jiwanya, dan dapat dibina semangat untuk menuju ke arah kebaikan. Makrifat ini dapat memberi didikan kepada hati untuk sentiasa menyelidik dan meneliti mana-mana salah dan tercela, malahan lahir kemahuan untuk mencari kemuliaan, keluhuran dan ketinggian budi dan akhlak sebaliknya juga menyuruh seseorang supaya menghindarkan dirinya dari perbuatan yang hina, rendah akhlak dan tidak berharga sedikit pun.

Bagi persoalan mengenai tasbih, biji tasbih yang digunakan sekarang mungkin belum dikenali lagi pada masa Baginda. Tetapi ada sahabat Nabi SAW menggunakan biji kurma sebagai alat menghitung bilangan bacaan mereka yang kemudian berkembang menjadi tasbih. Di samping itu tidak semua yang tidak dikerjakan Rasulullah SAW adalah terlarang. Sebelum menetapkan hukumnya, perlu dilihat dulu, apakah sebab dan motivasinya sehingga Baginda SAW tidak mengerjakannya. Penulisan semua ayat al-Quran dalam satu mashaf misalnya tidak dilakukan pada zaman Rasulullah kerana belum timbul keperluan untuk itu. Tetapi pada zaman Khalifah Abu Bakar r.a, bermulalah pengumpulan dan usaha membukukan al-Quran itu.

Mengenai perbuatan ramai yang menjadi rantai tasbih sebagai hiasan yang digantung dalam kenderaan, ini sebenarnya bergantung kepada individu itu sendiri. Jika diletakkan sebagai hiasan, tidak menjadi masalah kerana mungkin dengan melihat tasbih itu, hatinya terdorong untuk berzikir mengingati Allah SWT. Tetapi jika ia digantung dengan iktikad kepercayaan bahawa rantai tasbih itu mempunyai Ta’sir (memberi bekas), mempunyai tuah atau kekuatan yang dapat mengadakan, memberi manfaat dan mengelak daripada mudarat, maka orang yang berkeyakinan (beriktiqad) seperti ini sudah menjadi kufur. Ini kerana keyakinan atau kepercayaan itu timbul daripada tahyul, daripada ajaran yang bukan-bukan dan kurafat, yang wajib dijauhi setiap Muslimin. Wallahua’lam.

Sumber: http://agamaberitaharian.blogspot.com/2010/02/persoalan-agama-zikir-perlu-ikut-tajwid.html

Related Posts with Thumbnails

Tags: , , , ,

2 Kata


  1. kyo_9 on 23 Jul 2010

    thanks for sharing~

    [Balas Cakap]

    UJ Reply:

    Cuma ambil dari web lain sebagai pengisian dan pengajaran. Rasulullah pernah berkata sampaikan dariku walaupun satu ayat. Jadi eloklah kita mengikut caranya. Benda yang baik kita sebar sebarkan… moga penulis mendapat ganjaran disisiNya…

    [Balas Cakap]


Apa yang nak di kata?