APAKAH hukum melakukan iktikaf pada waktu selain Ramadan dan di manakah tempat melakukan iktikaf? Adakah harus berniat iktikaf walaupun kita hanya berada dalam masjid dalam waktu yang singkat seperti Maghrib dan Isyak kerana menghadiri kuliah.

AHMAD

IMAM Syafie menjelaskan iktikaf adalah iltizam dalam melakukan sesuatu sama ada kebaikan ataupun dosa. Ini berpandukan ayat ke-138 surah al-A’raf, maksudnya: “Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala.”

Selain itu iktikaf ini digunakan dengan makna lebih jelas menerusi ayat ke 187 surah al-Baqarah iaitu : “…dan janganlah kamu menyetubuhi isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukum-Nya kepada sekalian manusia supaya mereka bertakwa.

Maksud iktikaf menurut istilah syarak pula adalah adalah tinggal tetap dalam sesebuah masjid dengan tujuan untuk melakukan beribadat.

Ia adalah suatu yang sudah disyariatkan sebelum Islam lagi seperti yang difirmankan oleh Allah dalam surah al-Hajj ayat ke 26 maksudnya: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): “Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).

Kalangan ulama berbeza pendapat dari segi menentukan jenis masjid yang diizinkan untuk beriktikaf. Sebahagiannya berpandangan dibenarkan melakukan iktikaf di mana-mana masjid walaupun solat berjemaah tidak dikerjakan.

Golongan wanita diharuskan melakukan iktikaf di rumahnya kerana mereka tidak termasuk dalam umumnya nas al-Quran yang sudah dikemukakan.

Imam Ahmad berpandangan ia hanya boleh dilakukan dalam masjid yang didirikan solat jemaah saja. Ini disebabkan hujah berikut:

1. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah, maksudnya : Tidak boleh beriktikaf kecuali di masjid yang mendirikan solat berjemaah.  Riwayat al-Baihaqi.

2. Ibn Abbas berkata, maksudnya : “Tidak ada iktikaf kecuali di masjid yang didirikan padanya solat.”

3. Jika dia melakukan iktikaf di tempat yang tidak didirikan solat berjemaah, akan mengakibatkan beberapa masalah iaitu kemungkinan dia akan terlepas melakukan solat berjemaah dan apabila dia kerap keluar dari masjid yang dilakukan iktikaf padanya akan menafikan tujuan utama dia beriktikaf.

Seterusnya soalan yang kedua berkaitan keharusan melakukan iktikaf selain Ramadan, hukumnya adalah harus.

Cuma seseorang yang beriktikaf digalakkan berada dalam keadaan berpuasa menurut pandangan dalam mazhab Syafie.

Kalangan ulama mazhab Hanafi membahagikan iktikaf kepada tiga jenis :

  • 1. Iktikaf yang mandub (digalakkan) iaitu, apabila seseorang itu berniat untuk berada dalam masjid walaupun sebentar.
  • 2. Iktikaf yang menjadi sunnah Nabi iaitu pada sepuluh hari terakhir Ramadan.
  • 3. Iktikaf yang wajib, apabila telah dinazarkan. Seseorang yang sudah bernazar untuk melakukan iktikaf wajib ke atasnya berpuasa apabila mengerjakan iktikaf itu.

Mudah-mudahan saudara yang bertanya memahami hukum-hukumnya.

Sumber: http://agamaberitaharian.blogspot.com/2010/01/persoalan-agama-beriktikaf-digalak.html

Related Posts with Thumbnails

Tags: , , ,

Apa yang nak di kata?