Hari sabtu minggu kedua adalah untuk cerpen. Oleh kerana UJ sibuk pada hari sabtu [sebenarnya mungkin seminggu sibuk] dan ketiadaan meja untuk memudhkan kerja menulis, maka hari ini UJ akan upload semua post yang berkaitan untuk menampung mana mana cerita yang tertinggal. Untuk kalam Jumaat, akan diterbitkan dalam sehari dua. UJ tak mampu nak taip dalam keadaan berbaring. Mahu patah pinggang ni. hehehehe. Ikutilah cerpen kreatif karangan kawan UJ sendiri.

SAYANG SI MAMAT

Oleh: Nur Afiqah Binti Abu Samah

Seperti mana yang pernah tersiar di Majalah Tunas Cipta terbitan DBP pada tahun 2006.

BAHANG dapur kayu membuatkan Mak Leha berpeluh. Dahinya yang berkerut menahan panas itu dipenuhi manik-manik jernih yang mengalir laju dari liang-liang romanya. Matanya melingas mencari-cari Mamat. Hatinya tidak tenteram sekiranya Mamat tiada di sampingnya. Mak Leha mengangkat tudung periuk yang tertenggek di atas dapur. Dikacaunya nasi yang separuh masak itu agar masak serata dan tiada jelantah. Mak Leha mengelap tangannya sambil menuju ke pintu dapur.

“Mamat! Oh Mamat!. Isy, mana pula perginya budak ini. Mengukur jalan saja kerjanya. Mamat!” Mak Leha berlenggang menuju ke halaman rumah. Matanya meliar mencari anak kesayangannya itu.

“Mak!” Mamat menjerit dari atas dahan pokok rambutan sambil menjatuhkan kulit rambutan ke bawah. Tepat mengenai kepala Mak Leha. Mak Leha terperanjat.

“Oh mak engkau, Astaghfirullahalazim… budak ini. Terperanjat mak tau! Dah! Turun, meh makan, nasi dah masak. Makan pun nak berjemput. Teruk betul budak ni.” Mak Leha menyambut tangan Mamat yang sudahpun berada di atas tanah. Mamat berlari menuju ke dapur. Mak Leha hanya memerhati dari jauh dengan senyuman yang meleret.

Di dapur, Mamat setia menunggu di meja makan, menanti makanan dihidangkan. Mak Leha menyenduk nasi. Seekor ikan kembung goreng diletakkan di dalam pinggan yang berisi nasi tadi. Pinggan itu diletakkan dihadapan Mamat. Mak Leha menuju semula ke dapur dan mengambil cawan untuk diisikan air masak untuk Mamat. Sesudah itu, barulah Mak Leha menyediakan nasi untuk diri sendiri. Mak Leha menyuap nasi yang berlaukkan masak lemak ikan baung dengan jantung pisang itu ke dalam mulutnya. Pada suapan yang kedua, Mak Leha mengerling ke arah Mamat yang duduk bertentangan dengannya. Mata Mamat yang jernih itu kelihatan sayu membalas pandangan Mak Leha. Nasi dihadapannya tidak bercuit langsung.

“Kenapa tak makan Mamat? Lauk yang mak buat tak sedapkah?” Mak Leha memandang Mamat dengan dahi yang berkerut. Mamat turun dari kerusinya lalu duduk di atas riba Mak Leha. Mulutnya ternganga luas.

“Kamu nak makan sekali dengan mak ya?” Tanya Mak Leha kepada anak itu. Mamat mengangguk. Mulutnya dinganga sekali lagi. Mak Leha mengambil sejemput nasi dari pinggannya lalu disuapkan ke mulut Mamat. Mamat mengunyah makanannya dengan begitu berselera. Mak Leha mengusap kepala Mamat sambil meneruskan makan sehingga kenyang.

Kasih sayang Mak Leha terhadap Mamat tiada bezanya dengan kasih sayangnya kepada Maryam, anak sulung Mak Leha serta anak-anaknya yang lain. Maryam yang sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak juga menyayangi Mak Leha seperti Mamat menyayangi ibunya. Maryam selalu datang ke rumah ibunya.

“Assalamualaikum, Mak! Yam datang ni.” Maryam memanggil dari serambi rumah sambil membuka seliparnya dan menapak ke atas tangga. Mamat berlari mengejar Maryam. Maryam mengeluarkan buah tangan untuk Mamat dan juga ibunya.

“Mamat, nah ambil pisang ni.” Maryam menghulurnya ke tangan Mamat. “Kalau Mamat nak makan boleh. Tapi jangan habiskan tau. Tinggal sedikit untuk mak.” Mamat menyambutnya lalu berlari ke dapur. Mulut Mamat menjerit-jerit memanggil mak.

“Eh Yam, bila kau sampai? Mak tak dengar pun kau bagi salam” Mak Leha mengasingkan cili yang sudah hancur setelah digiling dengan batu giling itu ke dalam sebuah mangkuk. Tangannya pantas mengambil lagi lada kering yang sudah di basuh dan di buang bijinya itu lalu meneruskan kerja menggiling yabg belum selesai.

“Mana nak dengar, mak jauh di dapur. Mak nak masak asam pedas ikan sembilang ya?” Tanya Maryam setelah melihat ramuan-ramuan yang disediakan hanya menunggu masa untuk dimasukkan ke dalam periuk. Mata Maryam menjeling Mamat. Mamat sedang menikmati pisang yang dibelinya tadi. Hatinya sayu melihat Mamat.

“Pandai kau Yam. Dah lama mak tak makan asam pedas. Teringin pulak nak menjamahnya. Eh, mana kau dapat pisang ni Mamat? Kaukah yang bawa Yam? Susah-susah sajalah kau ni.” Mak Leha menoleh ke bawah apabila Mamat menarik bajunya dan menyuakan pisang yang sudah di kopeknya ke mulut Mak Leha. Mak Leha membongkok lalu menggigit sedikit pisang itu. Mamat melompat kegirangan. Maryam menggeleng sambil tersenyum nipis. Hatinya terhibur melihat gelagat Mamat dengan ibunya itu. Mamat memang buah hati Mak Leha. Maryam tahu dan bersyukur ibunya ada teman bicara tempat menumpahkan kasih sayang setelah dia berpindah ke rumah lain. Dengan tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak, Maryam sedar dia tidak dapat lagi melayani ibunya seperti dulu. Begitu juga adik-adiknya yang lain. Kini Mamatlah gantinya.

**********

HARI ini Mursyid, anak kedua Mak Leha balik ke rumah ibunya. Ada berita gembira yang ingin disampaikan kepada ibu kesayanganya itu. Mak Leha menyediakan masakan kegemaran Mursyid iaitu ikan keli bakar bersama cicah air asam. Sudah lama Mursyid tidak pulang ke kampung. Kali terakhir anak lelakinya itu pulang ke kampung bersama isteri dan dua anak kembarnya itu pada hari raya Aidilfitri tiga bulan yang lalu. Mak Leha memandikan Mamat setelah kerja di dapurnya selesai. Dia melumurkan sabun ke seluruh tubuh Mamat agar anaknya ini kelihatan segar dan berbau wangi di mata Mursyid. Mamat seronok bermain air dan buih sabun. Sudah berkali-kali Mak Leha menasihatinya agar tidak terlalu nakal apabila Mursyid tiba nanti. Mak Leha mencapai tuala yang tersangkut di atas pintu. Mak Leha mengelap badan Mamat agar kering. Mamat berlari keluar dari bilik air dan terus masuk ke dalam rumah.

“Nenek, nenek, mana Mamat? Rindulah kat Mamat” Kedua-dua cucu Mak Leha itu merengek manja ingin bertemu dengan Mamat. “Mamat ada kat dalam. Baru lepas mandi. Sekejap lagi dia keluarlah tu. Mamat mesti rindu kat Irfan dengan Irfah juga.” Nenek mengusap kepala cucunya.

“Eh, Mamat! Di situ rupanya kamu.” Mamat sedang menghadap kipas untuk mengeringkan rambutnya yang sudahpun separuh kering. Irfan dan Irfah berlari mengejar Mamat. Mamat melompat turun dari kerusi dan terus menuju ke arah Irfan dan Irfah. Mereka berpeluk seketika.

“Mamat wangilah. Betul tak Irfan?” Puji Irfah. Irfan mengangguk. Mamat menjerit kesukaan. “Jom kita main kat bawah pokok rambutan tu”, Irfan mengajak kembarnya dan Mamat sambil berlari laju ke arah pokok rambutan. Mereka bertiga bergelak ketawa bersama-sama.

Mursyid tersenyum melihat gelagat anak kembarnya melayan Mamat. Mak Leha membawa sedulang air diikuti Laila menantunya yang menatang sepinggan goreng pisang. Mursyid menggeleng perlahan.

“Buat apa mak susah-susah ni mak. Acid dah kenyang makan ikan keli bakar dengan cicah air asam mak tadi tu. Dah lama Acid tak rasa masakan mak. Sedap betul. Laila pun tak boleh masak macam masakan mak. Dah puas Acid suruh dia belajar dengan mak.” Laila menarik muka masam. Mak Leha ketawa melihat gelagat anaknya itu yang suka menyakat isterinya.

“Manalah nak sama. Lain orang, lain rasa air tangannya. Bukannya Laila ni tak pandai masak. Acid yang tak pandai menghargainya. Mak rasa, masakan Laila sedap-sedap. Tak ada cacat celanya.” Mak Leha mengusap belakang menantunya. Laila tersenyum kemenangan. Mursyid mencebik apabila mendengar emaknya menyebelahi Laila.

“Mak, sebenarnya Acid dapat berita gembira untuk mak. Mak ingat tak masa mak datang rumah Acid di KL. Acid ada bawa mak pergi berdaftar kat Tabung Haji. Acid dah dapat surat tawaran tu mak. Mak terpilih untuk menunaikan haji tahun ni.” Mursyid menunjukkan surat tawaran itu kepada Mak Leha. Mak Leha tersenyum gembira. Sudah lama dia bermimpi untuk menjejakkan kaki ke tanah suci. Tetapi faktor keewangan menjadi halangan. Kini setelah anaknya sudah mempunyai kehidupan yang sempurna dan mampu menanggungnya untuk pergi menunaikan haji di Makatul Mukaramah, mimpinya menjadi nyata. Air mata kegembiraan Mak Leha mengalir laju. Hatinya melonjak tidak sabar untuk ke sana. Tiba-tiba hati Mak Leha sayu. Dia teringatkan sesuatu. Mamat. Siapa yang nak jaga Mamat?.

Mak Leha memandang ke arah pohon rambutan yang terletak di hadapan rumahnya. Hatinya sayu untuk meninggalkan Mamat. Mamat begitu gembira bermain tarik upih bersama Irfan dan Irfah. Mursyid seperti tahu apa yang sedang bermain di hati ibunya itu.

“Mak jangan risau. Acid dah bincang dengan kak long. Dia kata, dia sudi menjaga Mamat sepanjang pemergian mak. Mak perlu ringankan fikiran mak. Di sana nanti, hati mak hanya pada Allah SWT. Mak janganlah beratkan fikiran mak tentang Mamat. Ya mak.” Mak Leha mengangguk perlahan. Dia perlu tenangkan fikiran. Kesihatan amat penting untuknya apabila tiba di Makkah.

Minggu depan Mak Leha perlu ke rumah anaknya di Kuala Lumpur. Dia perlu menyertai kursus perdana yang dianjurkan oleh Tabung Haji di Putrajaya. Pertama kali dia menjejakkan kaki di Putrajaya. Kesemuanya kelihatan mewah. Selama ini Mak Leha hanya melihat tempat ini di dalam televisyen. Mursyid yang menghantar Mak Leha ke kursus perdana itu. Kini Mak Leha tenang mempelajari apa yang patut dilakukan ketika tiba di tanah suci nanti. Mamat selamat disamping Maryam. Mak Leha tahu Mamat mampu menjaga dirinya.

Di rumah Maryam, Mamat menjadi sangat pendiam. Anak-anak maryam semuanya pandai melayan Mamat. Mamat juga suka bermain dengan anak-anak Maryam. Tetapi, Mamat tidak mahu makan. Mamat hanya akan makan sekiranya Mak Leha yang menyuapnya. Maryam mati kutu. Maryam cuba menyuap Mamat. Tapi hanya beberapa suapsahaja, kemudian Mamat pasti menjerit memanggil mak.

Selama seminggu berada di Kuala Lumpur, akhirnya Mak Leha pulang semula ke kampung. Mamat yang sememangnya amat merindui Mak Leha lantas memeluk Mak Leha apabila melihat kelibat Mak Leha keluar dari kereta Mursyid.

“Macam mana Mamat kat rumah Yam? Dia nakal tak?” Tanya Mak Leha kepada Maryam.

“Dia okey saja. Nakal tu taklah sangat. Tapi suka bermain dengan Budin, Han, Zila dan Hah. Dia tak apa-apa mak.” Maryam menyedapkan hati Mak Leha. Mak Leha tersenyum lebar. Mamat masih memeluk bahu Mak Leha.

“Mak tengok Mamat makin kurus. Mamat rindu kat mak ya. Macam mana ni? Mak baru pergi seminggu, Mamat dah rindu. Nanti mak pergi lama tau. Sebulan lebih.” Mak Leha mengusap kepala Mamat. Mamat merengek sayu dan menyebamkan mukanya di leher Mak Leha.

“Mak tak usahlah risau pasal Mamat. Pandailah Yam jaga dia. Yang penting mak kena persiapkan diri untuk melawat Baitullah tak lama lagi. Mak dah jadi tetamu Allah. Mak kena banyak mempelajari solat-solat yang boleh dilakukan ketika di sana nanti. Mak tahu kan? Kita memperoleh 100,000 kali ganda pahala apabila bersolat di Masjidilharam. Mak kena rebut peluang ni.” Kata Maryam kepada maknya. Mak Leha mengangguk perlahan. Mamat dipeluknya dengan erat. Walaupun hatinya berat untuk meninggalkan Mamat, tetapi Mak Leha tahu pemergiannya ke Makkah lebih penting. Dan Mamat akan menunggunya pulang dari sana dengan rindu yang sarat di hati.

**********

LUSA Mak Leha akan bertolak ke Jeddah. Mak Leha mengambil penerbangan terakhir. Mak Leha nekad untuk melakukan Haji Ifrad. Hari ini Mak Leha bertolak ke rumah Mursyid di Kuala Lumpur. Mamat tidak mahu berenggang dengan Mak Leha sehinggalah saat Mak Leha menjejakkan kaki ke dalam kereta Mursyid. Mamat meronta-ronta hendak mengikut Mak Leha. Budin memegang kejap tangan Mamat. Mamat menjerit “Mak! Mak!” tidak berhenti. Pedih hati Mak Leha mengenangkan keadaan Mamat yang separuh nanar itu. Maryam menjengukkan muka dari tingkap kereta.

“Mak jangan risau. Yam akan jaga Mamat dan tengok-tengokkan ayam, pokok bunga dan rumah mak ni tiap-tiap hari. Mak kena tenangkan fikiran mak.” Maryam mencium tangan Mak Leha. Rahman, suami Maryam mengangguk dan memegang tangan ibu mertuanya.

“Sekali-sekla, kami sekeluarga akan tidur di rumah mak ni. Yang penting mak kena tumpukan perhatian mak kepada Allah SWT. Semoga mak selamat pergi dan selamat pulang.” Rahman menyalami tangan Mak Leha dan menciumnya. Mak Leha bersyukur ke hadrat Illahi kerana mengurniakan anak menantu yang amat memahami jiwanya. Mak Leha mengangguk perlahan. Dia melihat sekeliling rumahnya buat kali terakhir. Hatinya menjadi sayu apabila matanya menagkap tubuh Mamat yang terkulai layu di bahu Budin. Budin tersenyum dan mengangguk bagi menandakan dia sanggup menjaga Mamat sepanjang pemergian neneknya.

“Selamat tinggal semua. Insya-Allah mak akan menghantar berita dari sana.” Habisnya ayat terakhir Mak Leha , Mursyid menekan minyak lalu meninggalkan halaman rumah tua itu. Mak Leha sempat memanjangkan lehernya melihat ke belakang. Terlihat Mamat yang meronta-ronta minta dilepaskan dan menjerit-jerit memanggil maknya. Mak Leha mengeluh perlahan. Dia tidak mahu menyesakkan fiirannya lagi. Dia ingin memfokuskan fikirannya kepada Allah SWT apabila tiba di sana nanti.

Sudah dua minggu Mak Leha meninggalkan kampung halaman. Budin asyik melayan keletah Mamat. Walaupun pada zahirnya Mamat kelihatan sihat, Maryam tahu Mamat amat merindui maknya. Mamat semakin kurus. Dia hanya makan apabila lapar. Itupun sekadar mengalas perut kerana dipaksa Maryam.

“Mamat kena makan. Nanti kalau Mamat sakit siapa yang susah? Kak Long jugak. Mamat makan sikit ya.” Maryam menyuakan tangannya yang berisi sejemput nasi berlaukkan ikan goreng ke mulut Mamat. Mamat menggeleng dan menyebut “Mak!” Maryam mengeluh perlahan. Dia buntu. Tiba-tiba dia mendapat idea untuk memujuk Mamat.

“Kalau Mamat tak makan, nanti mak marah kak long. Mamat suka ke tengok mak marah-marah? Kesian kak long kena marah tau.” Maryam memujuk Mamat lagi sekali. Harapannya pujukan kali ini menjadi. Mamat menggeleng. Mamat memang tidak suka melihat maknya marah-marah. Dia juga kasihan dengan kak long. Kak Long baik dengannya. Takkan dia nak biarkan mak marah kak long. Maryam tersenyum nipis. Dia menyuakan sekali lagi nasi ke mulut Mamat. Mamat akhirnya bersetuju untuk makan. Tetapi hanya sedikit. Kemudian dia menolak dan lari ke halaman rumah. Maryam puas hati. Walaupun Mamat makan sedikit, ia sudah cukup untuk menyedapkan hati Maryam. Janji Mamat makan.

Seminggu lagi Mak Leha akan pulang ke tanah air. Maryam semakin risau dengan keadaan Mamat. Tubuh Mamat sudah tidak bermaya dan hanya mamapu terbaring lesu. Mamat begitu rindukan maknya. Mamat menjadi sangat kurus. Sehingga sesiapa yang melihatnya boleh mengatakan Mamat seperti mayat hidup. Tulang selangkanya kelihatan begitu jelas sekali. Badan Mamat seperti tidak mempunyai daging. Hanya kulit yang melitupi tulang-tulang Mamat. Maryam sudah mati akal. Tidak tahu apa yang patut diucapkan sekiranya mak pulang dan melihat keadaan Mamat nanti. Satu sahaja yang boleh Maryam lakukan. Berserah. Tawakal kepada Allah. Maryam sudah habis usaha.

**********

MURSYID memanjangkan lehernya melihat ke arah pintu ketibaan. Laila juga cuba untuk mengesan ibu mertuanya itu. Dari jauh kelihatan Mak Leha menolak kereta sorong yang dipenuhi dengan beg-beg besarnya. Irfan dan Irfahlah orang pertama dapat menangkap kelibat nenek mereka.

“Nenek!, ye… ye… nenek balik! Nenek… rindulah kat nenek” Cucu kembar Mak Leha berebut memeluk neneknya. Mak Leha ketawa kegirangan. Hari ini, Mursyid akan terus membawa Mak Leha pulang ke kampung. Itulah perminaan Mak Leha. Puas Mursyid memujuk Mak Leha agar berehat di rumahnya dahulu. Tentu maknya penat setelah berada lebih daripada lapan jam di dalam kapal terbang. Mak Leha berkeras juga untuk pulang terus ke kampung. Katanya rindu sangat dekat kampung halaman. Mursyid tahu. Mak Leha rindu sangat pada Mamatnya. Biarlah. Mursyid sanggup melakukan apa saja untuk mak kandungnya itu.

Sesampainya di halaman rumah Maryam, Mak Leha terus turun. Matanya melilau mencari sesusuk tubuh yang amat dirinduinya. Ingin sekali Mak Leha mendengar suara halus Mamat itu memanggilnya. Tetapi hanya Maryam sekeluarga yang menyambutnya. Walaubagaimanapun, Mak Leha tetap merindui Maryam sekeluarga. Rindu seorang ibu kepada anak kandungnya tidak dapat ditandingi rindu seorang ibu kepada anak angkatnya.

“Yam, mana Mamat?” Tanya Mak Leha kepada Maryam. Maryam tertunduk. Tiba-tiba lidahnya kelu. Kegembiraan yang diperolehnya sebentar tadi bertukar kepada rasa bersalah. Maryam menarik tangan maknya ke arah bilik Budin dan Han. Di situ, kelihatan sesusuk tubuh yang keding terbaring lesu di atas tilam toto berwrna biru muda yang dibentangkan bersebelahan katil Budin. Itulah permintaan Mamat. Mamat hendak baring di sebelah Budin sepanjang masa. Sepanjang pemergian Mak Leha, Budinlah tempat Mamat melepaskan kerinduan. Budin amat memahami jiwanya. Budin pandai membelainya seperti mana Mak Leha membelainya.

“Mamat.., Mak balik… bangunlah Mamat. Mak ada di sisni.” Mak Leha menggoncang badan Mamat. Harapannya, Mamat akan sedar dan membalas pelukannya. Tapi, harapan hanya tinggal harapan. Mamat tetap membisu. Matanya berkelip-kelip memandang Mak Leha. Maryam mengusap belakang Mak Leha. Maryam tahu, Mak Leha kini dilanda gusar. Gusar melihat keadaan Mamat yang kelihatan seperti tiada harapan. Budin duduk berhadapan dengan neneknya.

“Budin dah lakukan segalanya untuk Mamat. Tapi nak buat macam mana. Budin tidak dapat menandingi kasih sayang nenek pada Mamat. Walaupun Mamat amat rapat dengan Budin sepanjang pemergian nenek. Tetapi, Mamat masih memerlukan nenek dalam hidupnya. Budin dah cuba sedaya upaya.” Budin menundukkan kepalanya menghadap lantai. Dia kesal kerana tidak dapat menjalankan tanggungjawab yang digalasnya dengan baik.

“Tak apa Budin. Nenek amat berterima kasih dengan perhatian Budin terhadap Mamat. Tanpa Budin, mungkin nenek tidak dapat bertemu dengan Mamat. Sekurang-kurangnya, nenek dapat bertemu dengan Mamat ketika hayatnya masih ada.”

“Mak…” Tiba-tiba Mamat memanggil Mak Leha dengan suara yang amat lemah. Mak Leha amat gembira dengan respon yang diberikan Mamat. Mak Leha memandang muka Mamat. Mamat menyebut lagi perkataan mak. Mak Leha mengangguk. Air matanya menitis laju. Hatinya gembira bukan kepalang. Mamat amat merinduinya.

“Mamat. Mamat rindu kat mak ya? Mak pun rindu kat Mamat. Mamat jangan tinggalkan mak ya. Mak janji tak akan tinggalkan Mamat lagi. Kita makan sama-sama… Nanti mak suapkan nasi kat mulut Mamat.” Mak Leha mengusap kepala Mamat. Kasihnya pada Mamat tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Mamat memeluk leher Mak Leha. Walaupun tidak seerat dulu, ia sudah cukup mengembirakan Mak Leha.

Tiba-tiba pelukan Mamat terurai. Mak Leha pelik dengan kelakuan Mamat. Lazimnya, Mamat tidak akan melepaskan pelukannya selagi rindunya belum terubat. Mak Leha memangku Mamat. Mamat memandang muka maknya dengan pandangan yang sayu. Mulutnya terbuka sedikit. Walaupun tiada suara yang keluar, tetapi Mak Leha tahu yang Mamat memanggil namanya. Mamat terkulai layu. Tiada lagi suara yang keluar dari mulut Mamat. Mak Leha menangis hiba. Tahulah Mak Leha kini. Mamat sudahpun pergi meniggalkannya. Pergi buat selama-lamanya.

Maryam memeluk Mak Leha dari belakang. Dia tahu, hati ibunya itu amat sedih di atas pemergian Mamat. Sedaya upaya Maryam menenteramkan hati Mak Leha. Walaupun pada zahirnya Mak Leha kelihatan tenang, tetapi rahsia di hatinya tiada siapa yang dapat menduga. Kasih sayang Mak Leha kepada Mamat amat dalam. Mak Leha menganggap Mamat seperti anak kandungnya sendiri. Sejak Mak Leha bertemu Mamat dalam keadaan yang amat menyedihkan di belakang rumahnya, Mamat terus dijaganya seperti menatang minyak yang penuh. Mamat juga memerlukan kasih sayang untuk hidup di dunia yang fana ini. Walaupun pada hakikatnya, Mamat hanyalah seekor anak monyet.

Related Posts with Thumbnails

Tags: , , ,

Apa yang nak di kata?