Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh

APAKAH perbezaan solat Fajar dan solat Subuh. Bilakah waktu sebenar solat Dhuha dan bilakah tamatnya waktu Dhuha. Adakah wujud apa yang disebut sebagai qada dalam sembahyang bagi mereka yang sengaja meninggalkan solat. Apakah ia termasuk dosa besar. Apakah mereka perlu qada atau bertaubat. Harap mendapat penjelasan.

Ibu keliru,
Rawang

SEBAHAGIAN ulama berpendapat perbezaan antara solat Fajar dan solat Subuh hanyalah daripada segi bahasa. Bagi solat sunat sebelum subuh disebut solat Fajar dan solat wajib disebut solat Subuh. Ada di sesetengah tempat seperti di Asia Barat, solat Subuh disebut solat dua rakaat fajar.

Mengenai solat Fajar yang disebut dalam hadis daif, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Dua rakaat Fajar adalah lebih baik dari dunia dan segala isinya.”

Adapun solat Dhuha berbeza daripada keduanya sama sekali kerana ditunaikan selepas waktu Subuh selesai ketika matahari di langit mencapai kadar segalah atau kira-kira jam 8.30 pagi hingga kira-kira 15 minit sebelum masuk waktu Zuhur. Jika selepas daripada waktu itu, hukumnya makruh.

Bagi yang tertidur sehingga kesiangan, maka waktu Subuh baginya adalah sehingga selesai solat dengan syarat dia tidak melengahkannya. Walaupun ada yang mengqada, tidaklah menjadi kesalahan, tuntutan kewajipan (taklif) terlepas daripada orang yang tertidur.

Hadis Abi Qatadah daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya tidak ada tuntutan kewajipan pada yang tidur dan taklif hanyalah pada yang sedar. Sesiapa yang tertidur atau terlupa menunaikan solat, maka hendaklah dia solat ketika dia bangun atau teringat daripada lupa. Tidak ada sebarang denda padanya melainkan menunaikan terus solat itu.”

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tunaikanlah sembahyang kerana mengingatiku.” (Surah Taha, ayat 14)

Berdasarkan hadis itu, ulama berpendapat solat yang ditunaikan secara qada hanyalah pada istilah saja sedangkan hakikatnya dia sudah menunaikan solat itu. Bagi yang sengaja meninggalkan solat wajiblah qada dan bertaubat kerana dia sudah melakukan dosa besar terhadap Allah SWT.

Banyak hadis Nabi SAW menyatakan ancaman terhadap mereka yang meninggalkan solat antaranya, sabda Rasul SAW yang bermaksud: “Antara iman dan kufur ialah meninggalkan sembahyang.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Dalam hadis yang sanadnya adalah baik, Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Tiga perkara asas dalam Islam jika salah satu daripadanya ditinggalkan boleh menjadi kafir dan halal darahnya. Pertama ialah kalimah syahadah, keduanya ialah solat fardu dan ketiganya ialah puasa Ramadan.”

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ahli syurga bertanyakan kepada mereka yang dimasukkan ke dalam neraka, kenapa kamu dimasukkan ke dalam neraka Saqr? Mereka menjawab: Kami meninggalkan sembahyang. Kami juga tidak memberi hak kepada fakir miskin.” (Surah al-Muddassir, ayat 40-44).

Ibnu Hajar Al-Haitami meletakkan perkara ini dalam kitabnya Azzawajir dalam menyatakan dosa besar bagi mereka yang sengaja meninggalkan solat.

sumber: http://agamaberitaharian.blogspot.com/2010/01/soal-jawab-agama-solat-subuh-fajar.html

Related Posts with Thumbnails

Tags: , , , , , , , , , , ,

Apa yang nak di kata?