Salam 1Malaysia kepada semua pengodek diluar sana. Harap semua sihat walafiat la hendaknya. Kalau batuk, seselma atau pening pening lalat, bawak bawaklah diri tu jumpa doktor. Kalau malas nak pergi klinik swasta, pergi je klinik kerajaan. Bayar murah sikit. Hehehehehe…[UJ punya sinus da menyerang balik… mana nak cari ubat piriton ni…]

Hari ini merupakan entri khas berikutan perihal keagamaan untuk hari jumaat. Ianya dipanggil Kalam Juamaat yang lebih kurang kepada artikel berbentuk tazkirah dan pedoman untuk penggodek semua dalam menempuhi kehidupan duniawi. tazkirah yang UJ ingin sampaikan pada hari jumaat ini ialah perihal mengawal kemarahan. [dah hari sabtu, maaf kerana kelewatan menulis.]


MENGAWAL KEMARAHAN

Kali ini UJ akan menulis perihal isian dalam hati iaitu hal hal berkaitan agama. Hidup akan bosan kalau sentiasa diisi dengan benda benda duniawi dan seharusnya diseimbangkan dengan benda benda akhirat.

Sedikit tazkirah hari ini menyentuh perihal diri kita iaitu marah. Marah merupakan sifat alami manusia, dari diciptakan sehinggalah hari kiamat. Sifat marah ini telah ada semenjak kita lahir dari perut ibu sehinggalah kita mati dan dimasukkan ke liang lahad.

Sifat marah ada dua jenis iaitu marah yang dikeji dan marah yang dituntut. Marah yang dikeji akan membuatkan si pemarah akan hilang pertimbangan dan akan menyebabkan dirinya tidak dapat berfikir secara rasional dan pastinya akan melakukan sesuatu yang diluar jangkaan sekiranya tidak dibendung pada peringkat awal kemarahan.Perbuatan marah ini akan mengundang kemurkaan Allah S.W.T dan akan jauhlah syurga daripada kita.

Didalam hadis nabi yang bermaksud:

“Daripada Abu Hurairah r.a bahawa ada seorang lelaki berjumpa dan berkata kepada Rasulullah s.a.w: “berilah wasiat kepadaku” lalu Rasulullah bersabda kepadanya “jangan marah”. Lalu lelaki itu mengulangi pertanyaannya berulang kali, sabda Rasulullah: “jangan marah”.”

Dalam hadis diatas menunjukkan bahawa kita sebagai Muslim haruslah menahan sifat dan perasaan marah kita. Hal ini kerana kita dituntut agar berkasih saying sesame insan, lemah lembut dan tawaduk serta bermanis muka dengan semua orang. Kita haruslah mendidik diri kita mencontohi akhlak Rasulullah dan mengikuti ajaran yang dibawanya.

MARAH MENUNJUKKAN KELEMAHAN

Didalam hadis nabi yang lain, baginda pernah bersabda yang membawa maksud:

“Bukanlah orang yang gagah itu kuat menjatuhi lawannya tetapi orang yang gagah atau kuat adalah orang yang mampu menahan dirinya daripada marah”

Disini jelas menunjukkan bahawa marah itu mencerminkan keburukan dan kelemahan diri kita dan manakala sesiapa yang dapat mengawal kemarahan adalah orang yang kuat dan elok budi pekertinya.

KESAN MARAH KEPADA KEHIDUPAN

Marah yang dimurkai Allah akan mendatangkan pelbagai kesan kedalam kehidupan sama ada secara fizikal mahupun rohani. Hal ini dapat dilihat apabila ketika kita marah, raut wajah kita akan berubah, darahnya meluap, anggota badannya mengeletar, urat lehernya tegang, pergerakannya kelam kabut, percakapannya tidak jelas dan lidahnya mungkin akan mengeluarkan kata kata yang keji dan yang haram seperti menghina agama dan Allah.

Selain dikhuatiri apabila marah menguasai diri, akan dilakukan sesuatu yang diluar pemikiran seperti melakukan kecederaan kepada manusia lain atau yang paling buruk iaitu membunuh manusia lain. Nauzubillah…

Kesan lain boleh timbul kedalam masyarakat apabila marah mengusai ialah ianya akan melahirkan perasaan dengki dalam diri dan akan menyimpan niat jahat dalam diri. Hal ini akan menjurus kepada sifat menyakiti sesama muslim lain dan mereka akan merasai gembira jika rakannya ditimpa musibah. Dengan ini akan berlakulah permusuhan dan kebencian antara sahabat handai dan akan terjurus kepada pemutusan tali silaturrahim sesama muslim yang lain. Dengan ini akan rosak dan binasalah kehidupan sendirian dan kemasyarakatan.

MARAH YANG DITUNTUT

Marah yang dituntut adalah marah kerana Allah iaitu marah kerana marah yang disebabkan oleh perkara yang diharamkan oleh agama dicerobohi seperti mencabar aqidah, memburukkan akhlak yang baik atau menghina ibadat atau agama Islam. Seterusnya marah kerana mengancam jiwa, harta atau kehormatan seorang muslim. Sesungguhnya Allah berfirman didalam Al-quran yang membawa maksud:

“Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyiksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka. Dan Dia juga akan menghapuskan kemarahan orang orang yang beriman itu”

At-Taubah: 14-15

CARA MERAWAT ATAU MENAHAN MARAH

Didalam Islam, digariskan beberapa cara untuk merwat atau menahan marah yang dikeji. Antara cara caranya ialah:

1.  Melatih diri supaya mengikuti akhlak Rasulullah.

–  Rasulullah adalah contoh terbaik untuk kita menjadikan baginda sebagai ikutan. Sifat sabar nabi jelas ditunjukkan ketika Zaid bin Sa’nah datang menuntut hutang ketika beliau belum menhanut Islam. Permintaannya secara kasar adalah untuk menguji sifat lemah lembut nabi Muhammad. Walaupun dilayan dengan kasar dan hutang baginda belum sampai pada waktunya, namun baginda tetap bersenang hati dan berlapang dada serta membalasnya dengan senyuman manis tetapi Umar r.a memarahi lelaki tersebut. Lalu baginda berkata “aku dan dia, kami sebenarnya lebih berhajat kepada selain daripada ini wahai Umar! Kamu sepatutnya menyuruh aku supaya melakukan pembayaran dengan baik dan menyuruhnya meminta dengan baik”. Lalu Rasulullah s.a.w mengarahkan agar hutangnya ditunaikan dan ditambah lagi dengan tambahan sebagai tebusan akibat perbuatan Umar mengherdik Zaid. Hal inilah yang membuka hati Zaid untuk menerima sinar keIslaman.

2. Hendaklah orang yang marah itu mengingati akibat dan kelebihan mengawal kemarahan serta memaafkan orang lain.

–  Firman Allah:

“Dan orang orang yang menahan kemarahannya dan orang orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan ingatlah Allah menagasihi orang orang yang berbuat perkara perkara yang baik”

(ali-imran: 134)

3.  Meminta perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam.

–  Sesungguhnya apabila marah berlaku, ianya ditiupkan lagi oleh syaitan. Firman Allah didalam alQuran yang bermaksud

“Dan jika kamu dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mrngetahui”

(Al-A’raaf:199)

–  Ada peristiwa dimana ketika dua orang lelaki saling mencerca antara satu sama lain di sisi Rasulullah sehingga merah muka salah seorang darinya. Lalu rasulullah bersabda:

“sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang dimana jika dia menyebutnya nescaya akan hilang api kemarahannya iaitu sekiranya ia berkata “aku berlindung dengan Allah daripada syitan yang direjam.”

4.  Mengubah keadaan dirinya semasa sedang marah.

–  Imam Ahmad dan Abu Daud meriwayatkan daripada Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“apabila salah seorang daripada kamu marah dalam keadaan berdiri, hendaklah dia duduk, sekiranya dia melakukan demikian boleh menghilangkan kemarahannya dan jika tidak, maka hendaklah dia berbaring.”

5.  Tidak bercakap kerana dikhuatiri akan mengeluarkan kata kata yang tidak elok.

–  Amatlah digalakkan kepada sipemarah agar menutup mulut ketika mara. Hal ini kerana ditakuti jika marah boleh menyebabkan sesorang tanpa akal yang waras akan melontarkan kata kata yang tidak baik kepada teman atau rakannya dan seterusnya akan menyebabkan keadaan marah bertambah parah. Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“apabila sesorang daripada kamu marah, maka hendaklah dia diam”. Rasulullah mengucapkannya sebanyak tiga kali.

6.  Berwuduk.

–  Oleh kerana marah akan menyebabkan perasaan panas didalam tubuh dan menyebabkan keseluruhan badan akan berasa panas. Oleh yang demikian disunatkan berwuduk kerana sifat air yang sejuk dapat merubah keadaan badan yang panas menjadi sejuk. Sabda nabi dalam sebuah khutbahnya yang bermaksud:

“ingatlah bahawa marah itu adalah bara api yang membara didalam hati anak adam.”

–  Selain itu berwuduk juga merupakan ibadat kepada Allah s.w.t yang mengandungi zikir. Para syaitan yang meniupkan api kemarahan akan menjauhi sepertimana sabda nabi:

“sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan dijadikan daripada api. Maka, barangsiapa yang marah hendaklah dia berwuduk.”

Oleh yang demikian, kita sebagai manusia yang beriman haruslah menanam sifat sabar didalam diri dan sentiasa menahan kemarahan yang tidak perlu. Kita perlu tahu bahawa kita tidak sebenar layak menzahirkan kemarahan kita kepada orang lain kerana dikhuatiri akan memburukkan lagi tali persaudaraan kita antara satu sama lain.

Apabila berlaku sesuatu yang membuatkan kita marah haruslah kita mengingati Allah dengan mengucapkan Astargfirullah untuk mendapatkan keampunan daripada Allah.

Sekian sahaja pengisian Jumaat pada kali ini. Nanti sambungannya pada minggu hadapan.

Sumber rujukan:

Hadis 40, Imam Nawawi

Related Posts with Thumbnails

Tags: , , , , , ,

Apa yang nak di kata?

CommentLuv badge