Salam 1Malaysia kepada semua pengodek diluar sana. Moga berada didalam kesihatan dan keceriaan serta kegembiraan bersama keluarga. Pada siapa siapa yang mengalami sakit sakit tu, segeralah berjumpa dengan orang yang pakar yakni doktor untuk diubati penyakit. Mudah mudahan sembuh seperti sedia kala.
Rasanya lama sudah tidak berbicara pasal tazkirah jumaat. Takpe, UJ tiada masa dan idea untuk menulis kerana agak berat membawa tazkirah ni. Hehehe. Baiklah tajuk kalam kita hari ini berbakti kepada orang tua.
Umum sedia maklum bahawa kebelakangan ini kita dapat saksikan keruntuhan rumah tangga, permasalahan dalaman serta konflik anak bersama orang tua mereka. Sepatutnya hal hal sebegini tidak patut berlaku kerana pertamanya adalah kita manusia memiliki akal dan seterus sebagai manusia memiliki perasaan kasih sayang yang telah ditanamkan Allah sejak mencipta Adam dan Hawa. Tetapi benteng tersebut selalu diruntuhkan oleh ego seorang manusia termasuklah termakan hasutan syaitan. Nauzubillah…
Dalam Al-Quran, Allah menjelaskan,
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ah dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.”
(QS. Al-Israa: 23-24)
Jelas didalam Al-Quran kita dikehendaki menghormati ibu bapa, menjaga mereka dengan sepenuh kasih sayang, menjaga percakapan kita dan mendoakan mereka. Persoalan pokok disini kenapa kita sebagai anak berlaku kasar malahan sampai mencaci orang yang melahirkan dan menyusukan kita? Jauhlah syurga diakhirat sana.
Selain itu, terdapat ayat Al-Quran yang lain yang menunjukkan keperluan kita sebagai anak menghormati kedua ibu bapa kita. Firman Allah dalam surah Al-Ankabut juga Al-Ahqaaf yang bermaksud:
“Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada dua orang ibu-bapanya.”
Selain itu juga terdapat beberapa ayat yang menyeru kita berbuat baik kepada orang tua kita.
Kedudukan Tertinggi Sebagai Ibu
Ibu merupakan seorang wanita yang hebat yang mana menanggung beban mengandung selama 9 bulan seterusnya menderita kesakitan semasa melahirkan kita kedunia. Betapa besarnya nikmat menjadi ibu ini sehingga terdapat bebrapa hadis menceritakan kelebihan ibu berbanding bapa.
Sesungguhnya ibu lebih utama daripada bapa berdasarkan hadis nabi yang bermaksud:
Dari Abu Hurairah R.A. ia berkata: “seorang laki-laki datang, menemui Rasullah SAW, kemudian berkata: “Wahai Rosulullah, siapakan orang yang wajib aku perlakukan dengan baik?” beliau menjawab : “Ibumu.” Ia bertanya: “lalu siapa?”. Beliau menjawab: “Ibumu”. Ia bertanya : “lalu siapa?”. Beliau menjawab : “Ibumu”. Ia bertanya lagi: “Kemudian siapa lagi?”. Kemudian Rasul menjawab: “Ayahmu”. (Diriwayatkan oleh Al Bukhari dan Muslim).
Lihatlah hadis diatas yang menunjukkan bahawa kita haruslah mengutamakan ibu kita kerana Rasulullah berulang kali menyebut ibu dan kemudiannya bapa. Jelaslah ibu memiliki penghormatan tertinggi didalam ajaran Islam malahan mendapat darjat atas pengorbanan yang mereka lakukan.
Selain itu juga terdapat hadis yang menunjukan ketinggian ibu dimana dinyatakan bahawa syurga itu terletak di tapak kaki ibu. Disini menunjukkan betapa tingginya pengorbanan seorang ibu itu sehingga penghormatan sebegini diberikan kepada mereka. Jadi siapakah kita untuk memarahi mereka dan membenci mereka jika mereka tidak bersependapat mahu tidak bersetuju dengan kita? Sedangkan Allah meninggikan darjat mereka, jadi apakah kita merasa darjat kita lebih tinggi dari mereka disebabkan kita belajar di universiti dan berkahwin dengan orang kaya? Sedarlah bahawa semua itu tidak menjamin kesenangan kematian kita jika ibu itu tidak redha dengan segala pengorbanannya kepada kita. Ingat kisah Wail bin Khattab ketika dizaman Nabi dimana diazab ketika mencapai hujung nyawanya?
Hubungan Tiada Putus
Didalam Islam, hubungan ibu bapa bersama anak sekiranya anak beragama Islam tidak akan terputus. Sebagai anak mereka haruslah menghormati dan menjaga hati mereka serta berbakti kepada mereka. Firman Allah didalam Al-Quran yang bermaksud:
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Ku-beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.”
(QS. Luqman: 14-15)
Lihatlah betapa Allah menyeru kepada kita semua agar berbakti dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa kita kerana merekalah yang melahir dan membesarkan kita didunia ini.
Keutamaan berbakti kepada Ibu dan Bapa
Sesungguhnya sebagai anak, keutamaan kita adalah berbakti kepada mereka, malah sekiranya berlaku perang dan ibu dan bapa memerlukan kita sebagai anak, adalah lebih utama kita berbakti kepada mereka berbanding berjihad di peperangan.
Hadis Nabi yang bermaksud:
Dikisahkan oleh Abi Abdurrahman Abdullah bin Massoud berkata: Aku bertanya kepada Nabi saw, “Amal baik manakah yang lebih disukai oleh Allah?” lalu Rasul menjawab, “Solat pada awal waktu”. Kemudian aku bertanya, “Setelah itu apa lagi?”, Rasul menjawab, “Bersikap baik pada orangtua”. Lalu aku bertanya lagi, “Setelah itu apa?”. Dia menjawab, “Jihad di jalan Allah”
Juga terdapat kisah para sahabat dimana ketika peperangan berlaku da nada seorang sahabat ingin turut serta tetapi terpaksa pulang kerana mempunyai ibu yang sudah sakit.
Daripada Mu’awiyah bin Jahimah As-Salami, Jahimah datang kepada Rasulullah, lalu berkata: “Wahai Rasulullah, aku ingin pergi berperang dan aku sekarang datang minta nasihat kepada tuan.”
Baginda bertanya: “Apakah kamu masih mempunyai ibu?”
Dia menjawab: “Masih.”
Baginda bersabda: “Uruslah dia, kerana syurga di bawah kedua kakinya.” (Hadis riwayat Nasa’i, Ahmad dan Ibnu Majah)
Rasulullah memahami keinginan Jahimah untuk pergi berperang dan pada masa sama mengetahui ibu Jahimah sakit dan perlukan penjagaan. Namun, Baginda memerintahkannya mengurus ibunya kerana dengan mengurus ibunya, dia akan mendapatkan balasan syurga. Subhanallah, ada saat tertentu di mana menjaga ibu sakit lebih utama daripada berjihad di jalan Allah.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya jelas disini bahawa membaktikan diri kepada ibu dan bapa adalah suatu kewajipan dan hak mereka keatas diri kita ini. Selain itu haruslah kita sebagai anak menghormati mereka dan menjaga mereka ketika mereka tua dan mendoakan mereka sentiasa. Sesungguhnya rahmat Allah sungguh luas dimuka bumi ini dan sebagai hambanya, akan mendapat rahmatNya dengan berbakti kepada orang tua kita.
