Untuk bicara hadis kali ini, kita akan membicarakan hadis nombor 7 dalam syarah hadis 40 Imam Nawawi. Hadis tersebut adalah berkisar tentang nasihat/perasaan inginkan kebaikkan bukan sahaja pada diri, umumnya kepada masyarakat, pemimpin, kitab kitabNya, rasul rasulNya dan paling utama kepada Allah.

Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda:

Agama itu adalah nasihat. Kami berkata: Untuk siapa? Baginda bersabda: Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para Imam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya.

Hadis riwayat al-lmam Muslim.

Huraian Hadis :

Kenapakah agama itu adalah nasihat? Nasihat/nasihah berasal daripada kata an-nashu pada bahasa bererti bersih daripada perkataan yang mencemarkan. Maka dalam hadis ini terdapat beberapa intipati yang berupakan nasihat untuk Allah, kitabNya, rasulNya, imam imam kaum muslimin dan keseluruhan umat Islam di muka bumi ini. Bagaimana caranya nasihat itu. Kita lihat penerangan lanjut:

1) Nasihah untuk Allah – Cara caranya adalah dengan kita mengimaninya serta meyakini bahawa Allah itu wujud dan Esa. Seterusnya haruslah kita  mengikhlaskan diri apabila beribadah dan jauhi sifat keji serperti riak, sombong, megah diri dan bangga diri. Dan yang lainnya adalah dengan menaati segala perintahNya dan menjauhi laranganNya.

2) Nasihah untuk Kitab Al-Quran- Cara caranya adalah kita harus  meyakini bahawa ianya adalah kalam Allah bukan kalam makhluk dan meletakkan kitab suci ini sebagai Manhaj hidup dan sesuai dalam kehidupan malahan sepanjang zaman. Disamping itu juga kita haruslah berusaha memperelokkan bacaan dan faham isi kandungnya.

3) Nasihah untuk Rasulullah – Cara caranya adalah dengan membenarkan kenabiannya dan sebagai rasul akhir zaman. Seterusnya kita mestilah mengikuti ajarannya dan kasih terhadapnya. Kemudian kita haruslah mangangkat dan mengagungkan sunnah dan amalannya. Tidak dilupa juga kita haruslah membaca dan mengkaji segala usul dan juga sirahnya dan terakhir sekali jika boleh kita berakhlak dengan akhlaknya yang terpuji.

4) Nasihah untuk Imam muslimin – Imam disini bermaksud ketua negara. Cara caranya adalah dengan kita membantunya dalam segala tugasan supaya tugasan itu menjadi mudah dan segera dilaksanakan. Dan sebagai umat yang prihatin, kita haruslah menasihati beliau ketika lupa dan tidak lupa juga menghalang beliau daripada melakukan kezaliman kepada orang ramai.

5) Nasihah untuk Umat Islam  – Cara caranya adalah dengan membimbing mereka kearah kebaikan di dunia dan juga di akhirat. Selain itu juga kita haruslah mengajar apa yang mereka jahil terhadap agama dan juga memberi galakkan mereka dan contoh tauladan yang baik agak mereka tertarik untuk melakukan ketaatan kepada Allah.
Pengajaran hadis:
Agama lslam adalah agama nasihat iaitu agama yang berorientasikan nasihat sebagai teras pembinaan umat, menjaga perpaduan, mencipta kemajuan dan pembangunan, sama ada kemajuan duniawi ataupun pembangunan rohani.  Membiarkan kerosakan terus berlaku atau perkara yang kurang baik dilaksanakan adalah bertentangan dengan konsep nasihat lslam.

Islam telah memperuntukkan hak untuk memberi nasihat kepada semua penganutnya tanpa perlu mengira kedudukan, pangkat dan juga status. Nasihat yang diberikan meliputi golongan manusia sama ada pemerintah mahupun rakyat. Nasihat untuk Allah, KitabNya dan RasulNya bererti kita perlulah beriman dengan semua perkara tersebut dan beramal berpandukan tuntutannya yang sebenar.

Related Posts with Thumbnails

Tags: , , , ,

Apa yang nak di kata?