BOLEH ustaz jelaskan sumpah dalam Islam. Begitu juga bagaimana syarat atau rukun mengambil sumpah seseorang dengan memakai kitab suci al-Quran atau sumpah Islam? Boleh tidak orang yang bukan Islam bersumpah dengan menggunakan al-Quran? Boleh tidak bersumpah dengan menggunakan bahasa Melayu?

Fuad,
Kelantan

Sumpah diambil atau diucapkan dengan tujuan meyakinkan pihak lain bahawa orang yang bersumpah itu benar dalam ucapan atau pengakuannya. Keyakinan akan kebenaran itu lahir kerana orang yang bersumpah mengucapkan kata atau kalimat yang mengandungi makna bahawa, jika dia berbohong, maka dia bersedia dilaknat atau dijatuhi hukuman oleh Allah. Justeru, dalam ajaran Islam, tidak dibenarkan bersumpah kecuali menggunakan kata yang menunjuk kepada Tuhan, sebab tidak ada yang mampu menjatuhkan saksi selain Allah SWT atau atas dasar izin-Nya. Sumpah dapat lebih dikuatkan dengan pelbagai cara, antara lain, seperti diisyaratkan dalam al-Quran: “..kamu menahan kedua orang saksi sesudah solat (untuk bersumpah) dengan nama Allah jika kamu ragu (terhadap mereka), “(Demi Allah) kami tidak akan membeli dengan sumpah ini harga yang sedikit (untuk kepentingan seseorang), walaupun ia kaum kerabat,..” (Surah al-Maa’idah 5:106)

Penguat sumpah di sini dilakukan dengan memilih waktu tertentu, iaitu sesudah solat, kerana diharapkan waktu itu masih berkesan di hatinya kehadiran dan kebesaran Allah.

Al-Quran juga menggunakan pengulangan kata atau kalimah beberapa kali untuk tujuan penguat sumpah, seperti disebutkan dalam ayat 6 hingga 9 surah an-Nur. Di sini Allah memerintahkan kepada suami yang menuduh isterinya berzina (tanpa membawa empat orang saksi) untuk bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali dan kali kelima menyatakan bahawa laknat Allah atau kutukan Allah akan jatuh kepadanya jika dia termasuk dalam orang yang berbohong. Sementara itu, untuk mengelak daripada tuduhan itu, isteri juga diperintahkan bersumpah dengan nama Allah empat kali dan yang kelima menyatakan bahawa murka Allah akan jatuh kepadanya jika suaminya termasuk orang yang benar dalam ucapannya.

Ulama mengembangkan cara menguatkan sumpah, antara lain dengan menggunakan kitab suci al-Quran dan meletakkannya di atas kepala orang yang bersumpah atau dengan meminta yang bersangkutan memegangnya. Cara ini jelas tidak dikenal pada masa Rasulullah SAW. Sebabnya, walaupun ayat al-Quran sudah sempurna sebelum Rasulullah wafat dan dihafal seluruhnya oleh sahabat Baginda, namun al-Quran baru dikumpulkan dalam satu kitab setelah Rasulullah SAW wafat.

Sebenarnya, tujuan menggunakan al-Quran dalam sumpah adalah lebih menguatkan kandungan sumpah. Sebabnya, bagi seorang Muslim, al-Quran adalah firman Allah. Diharapkan dengan meletakkan di atas kepala orang yang bersumpah atau memegangnya, dia dapat lebih berasakan kebesaran Allah sehingga apa yang diucapkannya benar-benar sesuai dengan isi hatinya. Justeru, tidaklah tepat menggunakan al-Quran untuk mengambil sumpah orang bukan Islam, kerana kesan yang dimaksudkan di atas tidak mungkin akan dirasakan oleh mereka yang tidak beriman kepadanya sebagai firman Allah.

Tidak ada halangan untuk bersumpah dengan bahasa apa pun selama kandungannya dapat difahami oleh mereka yang bersumpah dan yang mengambil sumpah. Boleh saja mereka yang bersangkutan menyusun sendiri kalimat sumpahnya atau disusunkan oleh mereka yang mengambil sumpah. Sebabnya, yang terpenting adalah kandungan kalimat itu dipersetujui oleh yang bersumpah.

Related Posts with Thumbnails

Tags: , , , , , ,

Apa yang nak di kata?

CommentLuv badge