Salam 1Malaysia kepada semua penggodek diluar sana. Semoga semuanya sihat sihat belaka dan berada dalam kehidupan yang diwarnai dengan keceriaan dan kegembiraan. Bagi mereka yang sakit atau ada tanda nak sakit, pergilah ke klinik atau ke hospital untuk didiagnos. Semoga cepat sembuh nanti.
Daulat Tuanku. Nampaknya sudah 5 tahun Raja Terengganu menjadi Yang di-Pertuan Agong. Maka pengganti Agong baru ialah dari negeri utara pula iaitu negeri Kedah darul Aman. Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14 bermula hari ini.
Betapa uniknya di negara kita tercinta ini dimana Raja Berpelembagaan memerintah mengikut giliran dan tempoh yang ditetap tidak seperti kebiasaan iaitu sistem monarki. Raja yang dilantik akan menjadi pemerintah tertinggi bagi Malaysia selama 5 tahun bermula pada masa Raja tersebut diamanahkan jawatan Yang di-Pertuan Agong. Dalam Malaysia, hanya sembilan negeri sahaja yang memiliki Raja-Raja iaitu Selangor, Perlis, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Sultan Kedah.
KE BAWAH Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah dan Sekolah Melayu Titi Gajah sebelum menyambung pelajaran di Kolej Sultan Abdul Hamid dari tahun 1946 hingga 1949. Sebagai seorang yang cintakan ilmu pengetahuan, baginda berangkat ke England pada Februari 1949 untuk melanjutkan pelajaran di Wadham College, Oxford dalam bidang Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam.
Semasa di England iaitu pada 6 Ogos 1949, baginda telah ditabalkan sebagai Raja Muda Kedah. Sekembali ke tanah air pada tahun 1955, baginda berkhidmat di Pejabat Daerah Kota Setar dan Pejabat Perbendaharaan Negeri. Baginda bertemu jodoh dengan Almarhumah Tuanku Sultanah Bahiyah pada bulan Mac 1956 di Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan. Almarhumah merupakan puteri sulung Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman Muhammad yang juga Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu.
Hasil perkahwinan diraja itu, Tuanku berdua dikurniakan tiga puteri iaitu Datuk Seri Tunku Soraya, Tunku Sarina (mangkat) dan Tunku Panglima Besar Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz. Pada 9 Mac 1957, baginda dilantik sebagai pemangku Sultan Kedah kerana Almarhum Sultan Badlishah telah berangkat ke luar negara pada 12 Mac hingga Julai 1957. Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menaiki takhta pada 14 Julai 1958 setelah ayahanda baginda Almarhum Sultan Badlishah mangkat.
Pada 20 Februari 1959, baginda ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Kedah ke-28 dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Bahiyah sebagai Sultanah Kedah dalam satu istiadat gilang-gemilang di Balai Besar, Alor Setar. Menurut sejarah, baginda merupakan Sultan Kedah Ke-2 ditabalkan mengikut istiadat. Sultan sebelumnya ialah Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II atau Marhum Melaka, Sultan ke-22 (1804 hingga 1845) yang juga berlangsung di Balai Besar.
Tuanku Sultan dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-5 antara tahun 1970 hingga 1975. Pada 21 September 1970, baginda dan Almarhumah Tuanku Sultanah Bahiyah dilantik secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Abdul Malik (Tuanku Bendahara yang kemudiannya bergelar Raja Muda) telah dilantik sebagai Pemangku Sultan Kedah. Pada ketika ini juga ayahanda saudara Tuanku, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bersara dari jawatan Perdana Menteri Malaysia.
Bagi Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, terima kasih daripada kami rakyat jelata Malaysia diatas pemerintahan Tuanku sebelum ini.